Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, optimis pasukannya berpeluang cerah untuk berada dalam kelompok terbaik Liga Super musim ini selepas menewaskan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Kejayaan mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Kelantan 2-0 melonjakkan kedudukan TFC ke tangga keempat daripada tangga keenam liga manakala Kelantan secara automatik tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

"Kami berharap dapat mengutip tiga mata penuh untuk perlawanan seterusnya menentang Selangor (29 Julai) meskipun 1-0 untuk meraih tempat kedua atau ketiga liga musim ini," katanya selepas perlawanan semalam.

Mengulas perlawanan itu, jurulatih berusia 67 itu bagaimanapun sedikit kecewa dengan persembahan anak buahnya apabila menyifatkan mereka banyak melepaskan peluang menjaringkan gol, terutama sepakan penalti yang gagal disempurnakan kapten pasukan, Tchetche Kipre.

Katanya, bekalan gol yang banyak diperlukan pasukan itu dalam misi menyempurnakan sasaran pasukan untuk menduduki tangga kedua atau ketiga Liga Super.

TFC juga bakal berdepan Selangor tanpa dua pemain import, Lee Andrew Tuck dan Chanceary Bin yang dilayangkan kad kuning dalam perlawanan semalam.

Sementara itu, pengendali Kelantan, Yusri Che Lah, yang akur dengan nasib pasukan itu tersingkir ke Liga Perdana musim depan, tidak menolak faktor pemain muda dan kurang pengalaman menyumbang kepada kekalahan mereka.

Rata-rata pemain pasukan itu yang berumur 22-23 tahun dilihat tidak mampu menguasai hingga babak akhir perlawanan kerana seakan-akan ‘hanyut’ ketika diasak TFC.

“Mereka dilihat terlalu memberi ruang kepada pasukan lawan hingga bolos dua gol dan gol kedua membunuh peluang Kelantan untuk mencari sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan ini.

“Walaupun mereka dilihat laju pada awalnya, tetapi seperti yang saya kata, kurang kematangan dalam bermain menyebabkan mereka sukar memberi saingan kepada pasukan lawan. Saya harap mereka perlu lebih bermotivasi untuk musim akan datang,” katanya.

-- BERNAMA