Irfan letak jawatan

Oleh Tengku Danish Bahri 16 Mei 2019 11572
Irfan letak jawatan
Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, meletakkan jawatan selepas bertanggungjawab atas prestasi hambar pasukan itu akhir-akhir ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, peletakan jawatan itu dibuat dalam mesyuarat khas yang dihadiri barisan jurulatih, semalam.

Penolong jurulatih, Mohd Nafuzi Zain, disahkan akan memegang jawatan jurulatih sementara sehingga PBSNT mendapatkan khidmat ketua jurulatih baharu.

Penyingkiran TFC dalam saingan Piala FA serta dimalukan PJ City FC 3-5 kelmarin, memaksa mesyuarat khas itu yang juga bedah siasat diadakan persatuan itu.

"Mengakui prestasi semasa pasukan yang tidak menentu, Irfan Bakti telah memohon untuk meletak jawatan dengan serta-merta.

"Setelah mengambil kira semua aspek, PBSNT bersetuju dan menghormati keputusan itu atas prestasi buruk TFC," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

PBSNT turut menafikan isu gaji menjadi punca kemerosotan prestasi dengan menegaskan pembayaran gaji serta bonus kepada TFC, TFC II, TFC III, TFC IV dan TFC V diuruskan dengan baik.

Menghuni tangga kelapan Liga Super, TFC tersingkir daripada Piala FA selepas tumpas kepada Pahang, minggu lalu, dan kekalahan kepada PJ City ibarat mengesahkan masa depan Irfan bersama pasukan tidak berpanjangan.

"Jasanya akan sentiasa dikenang dengan kejayaan menjuarai Piala FA (2011), layak ke Piala AFC (2012), muncul naib juara Liga Perdana (2017) dan naib juara Piala Malaysia (2018).

"Sokongan peminat amat diperlukan untuk membantu TFC mengharungi baki Liga Malaysia musim ini," tambah Tengku Farok.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen