Kemenangan 2-1 ke atas PKNP dalam Liga Super di Kuala Terengganu kelmarin melegakan pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, selepas skuad bimbingannya itu bergelut dengan prestasi di gelanggang lawan sebelum ini.

Sambil menyifatkan ia perlawanan yang sukar buat TFC, jurulatih berpengalaman itu turut mengakui cemas dengan kebangkitan lawan pada penghujung permainan.

Kelebihan dua gol melalui Kipre Tchetche (m-67) dan Lee Andrew Tuck (m-70) memberi ruang bernafas kepada TFC, begitupun defisit jaringan dikurangkan selepas Kim Sang-woo merapatkan kedudukan pada minit ke-79.

"Skuad muda PKNP nyata tidak berputus asa mencari gol penyamaan dan itu yang hampir menghukum kami. Alhamdulillah pemain-pemain mengikut arahan saya dan bertahan sehingga wisel penamat," jelas Irfan.

Sementara itu, rakan sejawatannya di PKNP, Abu Bakar Fadzim, tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang berjuang habis-habisan sepanjang 90 minit.

Apa yang memisahkan kedua-dua pasukan, ujarnya, ialah pengalaman serta ditambah kecederaan yang dialami penyerang import, Clovis Franklin, sekali gus menjejaskan jentera serangannya dalam babak kedua.

Abu Bakar kini menuntut anak-anak buahnya segera melupakan kekalahan itu dan memberi perhatian kepada perlawanan berikutnya, 19 Jun ini.

"Franklin terpaksa dikeluarkan dan kami hanya beraksi dengan dua awang import. Namun, PKNP mempamerkan semangat luar biasa sehingga tamat permainan," tambahnya.