Irfan jangka aksi sengit hadapi MU

Oleh Tengku Danish Bahri   12 April 2018 1304
Irfan jangka aksi sengit hadapi MU
Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, mengakui skuad bimbingannya berdepan aksi sukar bertemu Melaka United (MU) di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Dengan jangkaan saingan sengit bakal diberikan pasukan lawan, Irfan menggesa barisan pemain TFC mengekalkan fokus dan disiplin di atas padang sepanjang 90 minit.

“MU cukup kebal menang semua perlawanan di tempat sendiri tapi tidak bermakna kami akan turun dengan gaya bertahan.

“Kemenangan tetap menjadi buruan dan saya yakin pemain-pemain boleh melakukan sesuatu untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata,” jelasnya.

Pengendali berpengalaman itu juga menyifatkan TFC cukup terasa kehilangan dua tonggak, Mohd Shahrul Aizad dan Abdul Malik Mat Ariff, akibat kecederaan jangka panjang.

Namun, kehadiran pemain import, Bruno Junichi Suzuki, dilihat berupaya memberi nafas segar menajamkan jentera serangan Sang Penyu untuk memikul tugas penjaring bersama Kipre Tchetche.

“Ada sedikit perubahan di bahagian sayap. Saya memiliki Bruno, J. Partiban, Mohd Haidhir (Husaini) selain Mohd Faiz (Nasir) juga boleh mengisi kekosongan dua pemain itu,” tambahnya.

Sebarang keputusan malam esok pasti mengubah carta liga yang menyaksikan MU kini di kedudukan keempat dengan mengumpul sembilan mata manakala TFC dengan lapan mata di tangga kelima.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri  

Komen