Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, tetap berpuas hati dengan satu mata yang diraih selepas seri 2-2 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam tadi.

Menyifatkan persembahan TFC sebagai menakjubkan, Irfan berkata mereka mempamerkan disiplin tinggi serta berani melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan.

Menurut jurulatih berpengalaman itu, skuad bimbingannya tidak berputus asa ketika ketinggalan walaupun dia kelihatan kecewa dengan mutu pengadilan dalam aksi tersebut.

"Saya gembira kerana pemain-pemain bangkit dengan bersemangat. Selain daripada itu, saya tidak perlu komen kerana 12,000 orang dah tengok perlawanan ini," katanya.

Mengulas lanjut aksi malam tadi, Irfan berkata jentera tengah TFC agak longgar dengan kemasukan pemain import JDT, Aaron Niguez, selepas rehat.

Kelibat Syamer Kutty Abba dan Haris Harun juga dibiarkan bergerak bebas, menyaksikan JDT mendominasi 45 minit kedua dan menjaringkan dua gol dalam masa lima minit.

"Begitupun, saya berpuas hati dengan mutu persembahan malam ini (semalam) dan tiada halangan untuk TFC menang aksi berikutnya dengan rentak yang sama," katanya lagi.