Kem Terengganu FC (TFC) dirundung malang sebelum sepak mula Liga Super bermula 3 Februari ini selepas kehilangan khidmat pemain import baru, Kim Hyeon-woo.

Pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim, mengesahkan kelibat tonggak kelahiran Korea Selatan itu terpaksa dilupakan akibat kecederaan lutut yang serius.

Menurutnya, Hyeon-woo mengalami kecederaan itu ketika perlawanan kedua siri jelajah Kemboja menentang Army FC, dua minggu lalu.

“Dia (Hyeon-woo) perlu berehat selama empat hingga enam bulan dan kami akan mencari pengganti dari kuota Asia dalam masa terdekat.

“Pihak pengurusan akan mengadakan perbincangan bersama ejen Hyeon-woo untuk menentukan langkah terbaik,” ujarnya.

Dengan tempoh pendaftaran pemain dibuka sehingga 11 Februari, jurulatih berpengalaman itu masih memiliki tempoh untuk menentukan calon sesuai mengisi kekosongan di bahagian serangan.

Antara yang boleh dipertimbangkan ialah tonggak import TFC II kelahiran Brazil yang mendapat kerakyatan Jepun, Bruno Junichi Suzuki, selepas menjadi pasukan 'feeder' mereka.

Sementara itu, mengulas kejayaan menjuarai Piala Menteri Besar Terengganu yang disertai TFC II, Melaka United dan Pahang, Irfan menegaskan aksi mereka masih longgar, terutama ketika bertahan.

Bayangan kesebelasan utama juga disifatkannya masih belum ditentukan dengan masing-masing menunjukkan persaingan sihat merebut tempat dalam perancangannya.

“Keserasian pemain import dan tempatan semakin baik selain mula menunjukkan persefahaman.

“Namun begitu, banyak lagi perlu diperkemaskan, termasuk ketika berdepan serangan pasukan lawan,” tambah Irfan lagi.