Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, berasakan barisan pemainnya layak mendapat pujian kerana tidak mengambil mudah PKNP FC untuk menewaskan lawan itu 2-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

Sandro Da Silva tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-18 selepas Abdul Halim Saari dijatuhkan di dalam kawasan penalti.

Skuad Gergasi Merah itu kemudian menambah jaringan selepas Syahmi Safari menyudahkan umpanan Sean Selvaraj pada minit ke-78 sebelum Fazrul Hazli Kadri merapatkan jurang kepada 2-1 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-85.

Sathianathan mendedahkan dia mahu barisan pemainnya tidak mengambil mudah cabaran PKNP FC, namun dia enggan menerima sebarang pujian.

"Saya katakan kepada pemain supaya melupakan kekalahan kepada Felda (United) dan menumpukan kepada PKNP.

"Jangan mengambil mudah PKNP kerana mereka tidak tewas sebanyak empat perlawanan.

"Itulah yang kami bincangkan, namun yang meraih kemenangan ini adalah pemain.

"Saya cuma membimbing mereka," katanya.