Pemain sayap Kelantan, Mohammad Imran Samso, mengakui The Red Warriors (TRW) amat terdesak memburu kemenangan apabila turun menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Cheras, malam ini.

Katanya, kekalahan tiga perlawanan berturut-turut perlu ditamatkan segera kerana memberi tekanan kepada pemain muda Kelantan beraksi dengan lebih baik untuk mencipta kejayaan di gelanggang lawan.

“Sudah lama kami (Kelantan) kemarau kemenangan di gelanggang luar (musim ini). Mengalahkan Selangor adalah suatu perkara yang sukar tetapi tidak mustahil boleh dilakukan jika semua perancangan berjalan lancar.

“Misi wajib menang dan saya harap tuah memihak kepada Kelantan selepas kami kalah kepada PKNP, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan pasukan Selangor, Mohammad Imran mengakui The Red Giants antara pasukan pilihan musim ini apabila dibarisi pemain tempatan dan import berkualiti, namun TRW tidak mudah gentar atau merendah diri.

“Kami sedar kekuatan yang dimiliki skuad bimbingan jurulatih, Nazliazmi Mohd Nasir itu.

“Namun, semua pasukan memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kami tidak akan masuk ke padang dengan perasaan merendah diri, sebaliknya yakin mampu melakukan kejutan ke atas Selangor.

“Kami akan terus berjuang mendapatkan mata. Biarpun prestasi TRW merudum buat masa ini tetapi semangat saya dan rakan sepasukan tidak pernah padam untuk mencari kemenangan yang sangat diperlukan,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan menduduki tangga kedua tercorot dalam carta Liga Super dengan lapan mata hasil daripada dua kemenangan dan dua kali seri manakala Selangor di kedudukan kesembilan dengan 11 mata.