Pemain import baru PKNP FC yang menggantikan Thomas Abbey akan tiba di Ipoh, esok.

Perkara itu disahkan ketua jurulatih pasukan itu, Abu Bakar Fadzim, ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru berkenaan.

"Saya diberikan jaminan bahawa dia akan tiba esok dan akan diturunkan bagi perlawanan dengan Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Sabtu ini.

"Jadi, kita akan tunggu dan lihat.

"Tidak timbul isu masalah kecergasan kerana dia masih giat bermain," katanya.

Menurut Abu Bakar, pemain itu sudah memeterai ikatan secara di atas talian dan segala dokumen, termasuk Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC), dijangka tiba sebelum perlawanan itu.

PKNP FC terpaksa mendapatkan pengganti Abbey selepas pemain itu mengalami keretakan tulang ibu jari kaki kanan (metatarsal) ketika menentang Perak dalam suku akhir kedua Piala FA di Ipoh, Sabtu lalu.

Abbey mengalami kecederaan itu pada minit ke-65 dan diusung keluar, sekali gus terpaksa berehat selama enam hingga lapan minggu.

Abu Bakar menjelaskan bahawa pemain yang didatangkannya itu ialah seorang penyerang dari Brazil dalam usaha untuk memperkasakan pasukan bagi menamatkan musim ini dengan sekurang-kurangnya di tempat kelapan.

"Kami mahu kekal dalam Liga Super 2020 dan perlu bangkit dalam baki sembilan perlawanan yang ada," tambahnya.