Penyerang import baru Negeri Sembilan, Angel Guirado, mampu menjadi antara watak penting melakar kebangkitan skuad Jang musim ini selepas kehadirannya berjaya mencetus impak kepada jentera pasukan.

Pemain kebangsaan Filipina berusia 33 tahun itu dilihat antara tonggak import berbaloi bagi kuota Asean buat Negeri Sembilan.

Walaupun tidak menjaringkan gol ketika menang 3-1 ke atas PKNS, Ahad lalu, peranannya dalam mencetus masalah kepada pertahanan lawan memberikan banyak kesan positif.

Menuju sembilan lagi baki perlawanan, Guirado mahu menampilkan aksi terbaiknya bagi membantu Negeri Sembilan kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

"Saya berasakan pasukan lebih beryakinan ketika beraksi. Jika setiap pemain dapat bermain sebagai satu pasukan, kami mampu menampilkan aksi yang lebih cemerlang," katanya.

Guirado juga menjelaskan dia tiada masalah bekerja dengan jurulatih, Mario Lemos, walaupun perbezaan usia di antara mereka berdua hanya setahun.

Lemos , 34 tahun, adalah antara jurulatih termuda berkhidmat dalam saingan Liga Malaysia buat masa ini.

"Saya memiliki hubungan baik dengan jurulatih dan menghormati setiap arahan yang diberikannya."