Penjaga gol Terengganu FC (TFC), Ilham Amirullah Razali, bertekad untuk kekal konsisten dalam kesebelasan utama ketika bertemu Melaka di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Mula diberi tugas selaku benteng terakhir TFC sejak dua perlawanan lalu, Ilham enggan berasa selesa, sebaliknya mahu terus fokus agar tidak melakukan kesilapan.

Faktor jurulatih sementara, Mohd Nafuzi Zain, juga membantunya mengetepikan Mohd Suffian Rahman, Wan Muhammad Azraei Wan Teh dan Mohd Shafawi Mohamad ke bangku simpanan.

"Sebelum ini, saya jarang diberi kepercayaan untuk membuktikan kemampuan, mungkin lain jurulatih lain caranya.

"Sebagai penjaga gol, kesilapan boleh berlaku dan saya perlu kekal fokus di atas padang," katanya.

Sementara itu, Ilham menyatakan kesediaannya untuk kembali beraksi di bawah bimbingan jurulatih Indonesia, Rahmad Darmawan, yang dikaitkan dengan kerusi panas di TFC itu.

Walaupun enggan mengulas lanjut, dia mengakui tiada masalah untuk mengalu-alukan kehadiran pakar taktikal dari negara jiran itu.

Ilham dan Rahmad merupakan watak penting T-Team yang bergelar semi finalis Piala Malaysia pada 2016 sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

"Sekiranya dia (Rahmad) yang dipilih melatih TFC, itu berita baik kerana kami pernah bekerjasama sebelum ini," katanya.