Ifedayo tekad ledak jaringan di Larkin

Oleh Staff Writer 18 Jun 2019 1462
Ifedayo tekad ledak jaringan di Larkin
Penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun Omosuyi, bertekad mengekalkan rentak jaringan untuk memastikan penampilan sulungnya di Stadium Larkin, esok, menjadi mimpi buruk buat Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kelibat Ifedayo menjelang pertemuan menentang Harimau Selatan itu mencuri tumpuan selepas penyerang kelahiran Nigeria berkenaan kembali menemui sentuhan pemusnah.

Ia menerusi satu golnya dalam kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu, sekali gus merekodkan gol kelimanya sejak melakar hatrik dalam penampilan sulung bertemu Kedah, 15 Mei lalu.

Namun, lebih menarik, Ifedayo bakal membuat penampilan sulung di Stadium Larkin walaupun pernah beraksi bersama Felda United dan Melaka United.

"Saya mahu menjamin kemenangan untuk pasukan terlebih dahulu. 

"Kami sentiasa berjuang untuk meraih tiga mata, begitu juga ketika menentang JDT," katanya. 

Lantas, pemain berusia 29 tahun tersebut menuntut tonggak Gergasi Merah untuk memainkan peranan masing-masing agar mereka tidak berputih mata. 

"Sudah semestinya tiga mata yang dikutip ke atas Kuala Lumpur mampu melonjakkan semangat setiap pemain, termasuk saya. 

"Ia menyuntik semangat kami untuk pertemuan dengan JDT," tambahnya. 

Selangor kini bersaing bersama Pahang untuk merebut gelaran naib juara Liga Super memandangkan JDT hampir pasti mengesahkan kejuaraan buat kali keenam berturut-turut.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen