Ifedayo musnahkan impian PKNP   

Oleh Hairi Yahaya 19 Jun 2018 4539
Ifedayo musnahkan impian PKNP   
PKNP 1 MELAKA 2

Ifedayo Patrick Jeon memusnahkan impian PKNP FC dengan menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan yang menyaksikan Melaka United membenam tuan rumah itu 2-1 dalam saingan Liga Super di Ipoh, malam ini.    


Di awal permainan, kedua-dua pasukan bermain dengan lebih berhati-hati dan bola banyak berlegar di kawasan tengah padang. 

Pada minit keempat, tonggak PKNP, Mohammad Hafiz Ramdan, membuat percubaan ke arah pintu gol, namun ditepis penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Dua minit berselang, Melaka United pula terlepas peluang apabila tandukan Lee Chang Hoon hasil umpanan R. Gopinathan melepasi palang gol PKNP.

Permainan lebih berlegar di kawasan tengah dan pada minit ke-38, larian solo Hafiz melepasi
pertahanan Melaka United, namun gagal membuat penyudahan tepat.

PKNP memulakan separuh masa kedua dengan mengasak kubu pelawat dan hasilnya, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menyepak masuk bola umpanan Hafiz Ramdan. Selang beberapa minit, PKNP terus bersemangat mencari gol dengan percubaan Franklin Anzite, namun berjaya ditangkap Khairul Fahmi.

Melaka United pula mengejutkan PKNP pada minit ke-65 apabila Lee merembat cantik ke gawang pasukan tuan rumah itu dari luar kotak penalti bagi menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Pelawat seterusnya meranapkan impian anak buah Abu Bakar Fadzim itu dengan jaringan Ifedayo pada masa kecederaan untuk kedudukan muktamad 2-1 serta pulang berbekalkan tiga mata berharga.

Keputusan lain:

Liga Super

NEGERI SEMBILAN 0 PAHANG 2

KELANTAN 0 PKNS 2

SELANGOR 1 PERAK 1

Liga Perdana 

FELCRA 1 UITM 0

Tentang Penulis

Hairi Yahaya

Komen