Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, berasakan pasukannya berdepan aksi paling "gila" musim ini selepas terpaksa mengerah keringat untuk mengikat pasukan di tangga tercorot Liga Super, Kuala Lumpur, di Stadium KLFA, Cheras, malam tadi.

Perak dan Kuala Lumpur berdepan aksi penuh getir di Stadium KLFA dengan kedua-dua pasukan saling mengejar jaringan selain dua insiden kad merah.

The Bos Gaurus mendahului seawal minit keenam selepas pertahanan Kuala Lumpur, Zaiful Abdul Hakim, terjaring ke gawang sendiri.

Kapten Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin, menyamakan kedudukan pada minit ke 21, namun Perak kembali di depan sembilan minit berselang menerusi jaringan pemain tengah, Leandro Dos Santos.

Bagaimanapun, skuad Warga Kota itu kembali mengikat kedudukan pada penghujung babak pertama selepas memperoleh sepakan penalti yang disudahkan Guilherme de Paula.

Aksi kian "panas" dalam babak kedua dengan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain import Kuala Lumpur, Luke Woodland, dan pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim, dilayangkan kad merah, masing-masing pada minit ke-57 dan 64.

Kuala Lumpur berada di depan buat kali pertama selepas penyerang utama, Paulo Josue, menjelmakan penyudah tepat pada minit ke-65, namun Nor Hakim Hassan memastikan Perak tidak pulang dengan tangan kosong sebaik meledak gol penyamaan pada lima minit terakhir perlawanan.

Durakovic menganggap perlawanan sengit di Cheras itu sebagai "perlawanan gila", namun mengakui pasukannya melakukan kesilapan yang mendorong kepada ketiga-tiga gol Kuala Lumpur itu.

"Ia perlawanan yang amat gila.

"Untuk melakukan terlalu banyak kesalahan dan dilayangkan kad merah, kemudian bangkit menyamakan kedudukan.

"Tiga kesalahan dan mereka menjaringkan tiga gol, jadi kami perlu belajar untuk tidak mengulangi kesilapan itu.

"Malam ini, kami menjaringkan tiga gol, namun dibolosi sebanyak tiga kali," katanya.

Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, berasakan pasukannya telah berusaha gigih untuk mengejutkan Perak, namun nasib masih belum memihak mereka.

"Saya amat gembira untuk melihat pendekatan pemain saya dalam perlawanan ini.

"Mereka memaparkan keinginan dan nafsu yang tinggi untuk memenangi perlawanan, namun kami dibolosi pada lima minit terakhir.

"Saya berasa kasihan kepada mereka kerana mereka sudah berusaha keras untuk mendapatkan tiga mata," katanya.