Kehadiran Hussein Eldor nyata bertepatan ketika Perak tidak dapat menggunakan khidmat tonggak benteng, Shahrul Mohd Saad ketika bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Kapten Perak itu terpaksa disisihkan kerana menjalani penggantungan akibat mengutip tiga kad kuning.

"Kehadiran Eldor tepat pada masanya ketika kami pincang di bahagian pertahanan," kata pengurus pasukan Perak Datuk Adly Shah Ahmad Tah.

Eldor, 25 menyertai Perak Jumaat lalu untuk menggantikan Zachary Anderson yang mengalami kecederaan.

Pemain dari Australia itu sudah pulang untuk mendapat rawatan dari negara asalnya.

Adly berharap Eldor seorang rakyat Lubnan kelahiran Ivory Coast mampu mewujudkan benteng mantap bersama Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azhan Aznan serta Idris Ahmad jika diturunkan malam ini.

"Kami perlu benteng mantap untuk menyekat Dickson Nwakaeme, Mahmadou Sumareh dan Norshahrul idlan Talaha.

" Ketiadaan Shahrul memang akan dirasakan. Jadi saya berharap Eldor mampu nenampung kepincangan pasukan malam ini, "katanya.

Selain Shahrul, pelawat juga masih tidak dapat menurunkan penjaga gol utama, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy kerana masih merawat kecederaan.

Hafizul tidak diturunkan dalam perlawanan menentang PKNP FC di Stadium Perak pada 14 Mei lalu.

Tempatnya diambil alih oleh penjaga gawang kedua, Khairul Amri Salehuddin.