Selepas memecat ketua jurulatih, Sathit Bensoh, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan pelantikan penolong jurulatih, Yusri Che Lah, sebagai jurulatih sementara The Red Warriors (TRW).

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman, berkata pemecatan Sathit terpaksa dilakukan kerana persatuan tidak berpuas hati dengan prestasi TRW sepanjang mengharungi tiga perlawanan Liga Super dan aksi perlawanan persahabatan sebelum ini.

TRW memulakan kempen Liga Super musim ini dengan kurang memberangsangkan apabila sekadar memunggut satu mata daripada tiga perlawanan.

Kelantan sekadar seri 1-1 dengan Terengganu FC sebelum dibelasah 3-0 oleh Pahang. Sebelum itu dalam aksi pembukaan, TRW tumpas 2-1 kepada Melaka United.

"Keputusan (memecat) Sathit dibuat selepas mengambil kira segala faktor, termasuk ketidakmampuan mengemudi pasukan ini.

"Buat masa ini, Yusri Che Lah akan memangku tugas selaku jurulatih sementara sehingga pusingan pertama Liga Super berakhir Mei nanti," katanya.

Husin juga menjelaskan KAFA bercadang untuk membawa masuk jurulatih import baharu jika prestasi TRW terus merosot.

"Kami sedang mengenal pasti lima jurulatih luar, termasuk dari Croatia, Iran dan Nigeria.

"Ada juga jurulatih yang bakal hadir ke Stadium Sultan Muhammad IV untuk menyaksikan pertembungan TRW menentang Perak, 24 Februari depan," katanya.

Untuk rekod, beberapa nama jurulatih yang dikaitkan dengan TRW termasuk Velizar Popov yang menunjukkan minat untuk kembali ke Kota Bharu.