Peledak import Petaling Jaya City FC, Pedro Henrique, bersedia untuk beraksi bermati-matian demi memastikan kemenangan pasukannya ke atas Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Henrique, yang dismbar PJ City FC dalam jendela perpindahan kedua musim ini, memaparkan aksi yang tidak mengecewakan setakat ini.

Selepas dua penampilan dalam Liga Super, pemain kelahiran Brazil itu sudah merekodkan tiga gol dengan dua daripadanya ketika bangkit menewaskan Terengganu FC 5-3, Selasa lalu.

Bagaimanapun, Henrique sedar akan kebarangkalian mengenai kesukarannya untuk terus meledak gol sebagai seorang penyerang.

"Sejak saya tiba di sini, saya hanya cuba untuk membantu pasukan ini.

"Saya memiliki sedikit pengetahuan mengenai Liga Malaysia kerana saya pernah beraksi di sini sebelum ini.

"Kini, saya mewakili PJ City FC dan saya amat gembira untuk melaksanakan tugas saya walaupun menyedari tidak akan sentiasa menjaringkan gol sebagai seorang penyerang.

"Saya akan mencuba yang terbaik sama ada menjaringkan gol atau tidak," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih, K. Devan, berpandangan Kuala Lumpur kini pasukan yang lebih baik di bawah kendalian Chong Yee Fatt dan situasi itu menyaksikan PJ City FC perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Kuala Lumpur kini sudah bertambah baik daripada segi organisasi dan corak permainan.

"Sejak kebelakangan ini, mereka mencatatkan keputusan yang amat baik dengan pasukan yang baik.

"Jadi, kami perlu memberikan penghormatan kepada mereka kerana saya tidak rasa ia akan menjadi perlawanan yang mudah.

"Saya berasakan mereka mampu menggugat kami walaupun beraksi di laman sendiri," tambahnya.