Penjaga gol muda Selangor, Muhammad Haziq Ridwan, bertekad membalas kepercayaan jurulatih, Nazliazmi Nasir, dengan memastikan gawang yang dikawalnya tidak dibolosi dalam perlawanan menentang PKNP FC malam ini tatkala Red Giants turun dengan misi mengakhiri kemarau kemenangan.

Haziq melakukan penampilan pertamanya bersama skuad utama Selangor ketika menentang Melaka United, Sabtu lalu.

Penjaga gol berusia 21 tahun dari Petaling Jaya itu mendapat peluang beraksi susulan penjaga gol utama, Khairul Azhan Khalid, ditimpa kecederaan.

Walaupun dibolosi tiga gol dalam perlawanan itu, aksi bekas kapten Piala Presiden Selangor tersebut tetap memberi kepuasan kepada Nazliazmi sebagai pilihan untuk diturunkan bagi mengekang PKNP FC.

"Pada mulanya saya agak gemuruh tetapi selepas diberi kepercayaan oleh jurulatih dan pihak pengurusan, saya berasa lebih yakin.

"Insya-Allah saya akan mempamerkan aksi lebih baik berbanding menentang Melaka tempoh hari dan saya tidak rela gawang saya dibolosi," katanya.

Meskipun sudah terselamat daripada penyingkiran, skuad Selangor tetap membawa misi penting ke Ipoh untuk mengakhiri rentetan tujuh perlawanan tanpa kemenangan.

Perkara itu diakui pemain tengah, D. Kugan, yang juga berazam untuk mengulangi aksi terbaiknya selepas menjaringkan gol ketika bertemu Melaka.

"Saya harap peluang kami lebih baik lagi. Asyik kalah sahaja jelas sekali nasib tidak menyebelahi kami.

"Sudah menjadi adat pertandingan, ada menang dan ada yang kalah.

"Saya yakin untuk memberikan tiga mata kepada pasukan," katanya.