Tiga kali mendahului nyata tidak dapat menjamin kemenangan buat Kuala Lumpur selepas diikat seri 3-3 ketika menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium KLFA Cheras, sebentar tadi.

Kuala Lumpur yang dibimbing Fabio Maciel itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Zhafri Yahya meledakkan gol pembukaan seawal minit kelima selepas menerima hantaran Guilherme De Paula.

Aksi cemerlang penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, menyaksikan pelawat gagal mencari gol penyamaan menerusi tandukan, namun akhirnya bekas penjaga gol kebangsaan itu tertewas menerusi percubaan Rufino Segovia untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-13.

Belum sempat Selangor mencongak gerakan untuk mencari kelebihan, Kuala Lumpur sekali lagi berada di depan tujuh minit kemudian, kali ini hasil serangan balas yang disudahkan oleh Hafiz Johar.

Skuad Gergasi Merah meraih sepakan penalti selepas Saifulnizam Miswan menjatuhkan Sean Selvaraj pada minit ke-36, menyebabkan pemain berusia 37 tahun itu dilayangkan kad kuning dan Segovia mudah menyempurnakan peluang tersebut.

Pemain import dari Brazil, Paulo Josue, hanya memerlukan dua minit selepas rehat untuk kembali memberikan pendahuluan buat skuad Warga Kota itu apabila pemain berusia 29 tahun itu menyambut hantaran lintang Indra Putra Mahayuddin bagi menjadikan kedudukan 3-2.

Lebih menarik, jaringan Josue itu merupakan gol ketujuh peribadinya dalam saingan Liga Super musim ini dan kesemua ledakan itu dihasilkan di Stadium KLFA.

Bagaimanapun, Segovia sekali lagi muncul watak pemusnah untuk menafikan kelebihan yang dimiliki tuan rumah apabila meledakkan hatrik pada minit ke-62 dan kembali mengikat kedudukan.

Tuan rumah berdepan tamparan apabila Indra Putra dilayangkan kad merah dua minit kemudian setelah didakwa menyiku pemain lawan dan kedudukan 3-3 kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan di Cheras itu menyaksikan Selangor dan Kuala Lumpur menduduki tangga kesembilan dan ke-10 liga, berkongsi 21 mata dan dibezakan enam mata daripada zon penyingkiran.