"Saya tidak boleh tidur malam," itu reaksi pemain tengah Kedah, Andik Vermansah, yang mengakui sukar melelapkan mata sehari sebelum perlawanan dengan bekas majikannya, Selangor, semalam.

Kesukaran yang dialami Andik bukan disebabkan dia bimbang dengan kekuatan Selangor tetapi kesan daripada rasa sayang yang masih menebal terhadap bekas majikannya itu.

Bagaimanapun, Andik sendiri menjanjikan aksi profesional dengan jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, sebelum perlawanan.

Ternyata dia mengotakan janjinya apabila menyumbangkan hantaran cantik yang berjaya disempurnakan Syazwan Zainon untuk menjaringan gol pertama Kedah pada minit keempat.

"Masa saya nak masuk tidur semalam, saya berasa bimbang untuk berdepan Selangor, bukan takut dengan kekuatan mereka, cuma saya berasa susah.

"Bagaimanapun, dari dulu lagi saya utamakan profesionalisme.

"Memang susah untuk hilangkan hati saya di Selangor. Semua orang tahu empat tahun saya bermain di sana.

"Tetapi saya tetap profesional, di mana saya bekerja, di situ saya meletakkan komitmen," katanya.

Ketika ramai yang mula membandingkan kelibat Andik dan seorang lagi import kelahiran Indonesia, Evan Dimas, yang beraksi untuk Selangor, Andik melihat kualiti yang dimiliki pemain muda itu tidak kurang hebatnya dan hanya memerlukan kesabaran skuad Selangor dan penyokong Gergasi Merah.