Kelemahan pengurusan persatuan bola sepak negeri dan kelab menjadi punca kes tunggakan gaji pemain di Malaysia adalah yang tertinggi di benua Asia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, semalam mendedahkan kes tunggakan gaji dalam Liga Malaysia (Liga-M) mencatatkan rekod tertinggi di Asia dengan keseluruhannya melibatkan 262 kes dikemukakan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Hampir 16 pasukan terpalit isu tunggakan gaji sejak 2016 yang disifatkan sebagai mencapai tahap kronik dan antara pasukan yang hangat dikaitkan dengan isu ini, termasuk Perlis, Kelantan, Felda United dan Kuala Lumpur.

Pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir, berpendapat situasi itu sesuatu yang merugikan bola sepak negara.

"Ini membuktikan sistem bola sepak kita masih lemah dan satu tamparan kepada FAM untuk memberi kesedaran kepada ahli gabungan bagi tadbir urus yang lebih baik.

"Ini sesuatu yang negatif dalam bola sepak negara," katanya.

Hasnizam turut membidas sesetengah persatuan yang gagal mengukur baju di badan sendiri, khususnya soal peruntukan sehingga menjerat diri sendiri.

"Ini terpulang kepada pengurusan itu sendiri mengenai tadbir urus.

"Pasukan di negara ini sering mengikut nafsu dan tidak berpandukan kapasiti sendiri kerana tidak mempunyai perancangan untuk mengurus kewangan dengan baik selain tidak mempunyai strategi pemasaran untuk memastikan penaja mendapat pulangan pelaburan yang baik," katanya.

"Mereka hanya menunggu peruntukan kewangan daripada agensi kerajaan ataupun pihak berkemampuan.

"FAM perlu menggerakkan aktiviti yang memberi penerangan kepada ahli gabungan dalam menguruskan dana dan tadbir urus," tambahnya.

Sekiranya pasukan-pasukan terbabit gagal melunaskan isu itu sehingga tarikh akhir yang ditetapkan, iaitu pada pertengahan bulan depan, FAM akan menyekat geran tahunan lapan hingga 10 pasukan Liga-M 2019.

"Ini langkah bijak dan positif kerana tahun ini akan bermulanya fasa pertama program F:30," katanya.