Ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Hariss Harun, enggan berasa selesa dengan situasi Selangor yang sukar mencari rentak sejak awal musim ini kerana andai leka, Gergasi Merah mampu membawa padah kepada JDT.

'Semua pasukan mahu tewaskan JDT.' Itu hakikat yang dipegang kemas Hariss dan rakan sepasukannya betapa mereka tidak boleh leka dalam mana-mana perlawanan sekalipun.

Tidak ketinggalan, Selangor turut memiliki impian yang sama, apatah lagi kejayaan barisan pemain yang diterajui B. Sathianathan itu yang masih segar dengan kejayaan mengikat Pahang, Ahad lalu, ibarat amaran untuk JDT.

"Saingan masih di peringkat awal dan kami tidak boleh mengetepikan cabaran mereka.

"Adalah penting kami menghadapi setiap perlawanan seperti pertemuan final.

"Sebagai juara bertahan, kami tidak boleh mengetepikan cabaran daripada setiap lawan kerana mereka ingin mengalahkan kami," kata pemain import kuota ASEAN berkenaan.

Jelas Hariss lagi, tiga mata di Stadium Shah Alam malam esok menjadi tumpuan utama mereka.

Jika ia berlaku, ia merupakan motivasi terbaik buat JDT untuk mengharungi perlawanan pertama dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) bertemu Kashima Antlers di Tokyo, Jepun, Selasa depan.

"Bukan mudah untuk beraksi di tempat lawan dalam saingan Liga Malaysia ini, tidak kira kami bermain di mana-mana sekalipun.

"Kami perlu sentiasa berada di tahap terbaik daripada sudut mental dan fizikal," katanya.