Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Hariss Harun, mengisytiharkan skuad Harimau Selatan akan turun berdepan Kedah di Stadium Darulaman malam ini dengan misi mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 16 perlawanan berturut-turut.

Hariss menjelaskan JDT masih bernafsu untuk memburu kemenangan walaupun sudah dinobat sebagai juara Liga Super buat kali kelima berturut-turut.

Mereka mengesahkan kejuaraan itu selepas menundukkan Perak 2-1 dalam aksi di tempat lawan, Selasa lalu.

Menariknya, skuad bimbingan Raul Longhi itu belum tewas dalam tempoh empat bulan bagi aksi Liga Super sejak mengatasi Melaka 3-0, 24 Februari lalu.

"Kami telah menjuarai buat kali kelima dan pasukan akan menunjukkan kebolehan kami menampilkan mentaliti sang juara dan mencipta kemenangan," kata Hariss.

Pemain kelahiran Singapura itu muncul watak penting dalam kemenangan JDT ke atas Perak susulan menghasilkan gol penyamaan pasukannya.

Kejayaan itu membolehkan Hariss meraih gelaran juara Liga Super kali keenam berturut-turut dalam kariernya sejak kali pertama bersama LionsXII pada 2013.