Penjaga gol Perak, Muhamad Hafizul Hakim Khairul Nizam, menyarankan rakan sepasukan untuk lebih bersedia ketika berdepan kesebelasan utama Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Lumut, esok.

Bagi Hafizul, Selangor pasukan yang baik di segenap posisi. Oleh itu, kawalan ke atas setiap pemain perlu dipertingkatkan.

"Secara peribadi, saya telah lima kali berdepan Selangor dan setiap perlawanan lalu berlangsung sengit. Selangor pasukan yang baik dan sangat dikenali dalam kancah bola sepak Malaysia.

"Ia perlawanan yang sukar tetapi inilah medan terbaik bagi kami mempersiap dan mempertingkatkan diri," jelasnya.

Hafizul juga mahu menggunakan peluang bertemu Selangor sebagai ruang untuk menguji mental dan ketahanan fizikalnya.

"Selangor pasti akan turun dengan asakan memburu kemenangan dan tugas saya sebagai benteng terakhir pasukan adalah untuk menafikannya.

"Saya berharap seluruh pasukan dapat melakukan yang terbaik. Hanya kemenangan dapat membaiki kedudukan kami dalam liga," ujarnya.