Penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, yang baru pulih daripada kecederaan, berpuas hati dapat memberikan aksi cemerlangnya untuk menumbangkan Petaling Jaya City FC 1-0 dalam perlawawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Sebelum ini, penjaga gol itu mengalami kecederaan hingga terpaksa digugurkan daripada skuad Harimau Malaya ketika menentang Timor Leste dalam play off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, 7 dan 11 Jun lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu mengakui memerlukan masa untuk mengembalikan prestasi sebenar meskipun menonjolkan aksi cemerlang bagi menafikan setiap percubaan tuan rumah Jumaat lalu.

"Saya tidak beraksi hampir sebulan dan sudah terlepas tiga perlawanan.

"Untuk mendapatkan momentum kembali, sememangnya saya memerlukan masa.

"Alhamdulillah, kawan-kawan dan jurulatih terus menyokong saya untuk saya memaparkan aksi lebih baik dalam separuh masa kedua," katanya.

Sementara itu, penyerang import The Bos Gaurus, Ronaldo Henrique Silva, mahu meneruskan usahanya untuk meletakkan Perak di kedudukan terbaik dalam Liga Super.

Pemain kelahiran Brazil itu menjaringkan gol keduanya dalam Liga Super -- ketika menundukkan PJ City FC -- sejak menyertai pasukan itu awal bulan lalu.

"Pasukan saya memaparkan aksi yang cukup baik malam ini.

"Saya amat gembira untuk menyertai Perak dan bersyukur dapat menjaringkan gol," katanya.