Perak ditimpa malang apabila dua pemain tonggak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Zachary Anderson, mengalami kecederaan dan terpaksa berehat untuk sekurang-kurangnya dua minggu.

Perkara itu dimaklumkan ketua jurulatih The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, dalam sidang media selepas perlawanan dengan PKNP FC, malam tadi.

"Hafizul dan Zac mengalami kecederaan lutut dan diarahkan oleh doktor supaya berehat untuk sekurang-kurangnya dua minggu," katanya.

Berikutan itu, tempat Hafizul akan digantikan oleh Khairul Amri Salehuddin manakala Idris Ahmad akan mengambil tempat Anderson.

Penjaga gol kedua Perak itu melaksanakan tugasnya dengan baik walaupun ada ketikanya tampak goyah.

"Dia lulus ujian pertama dan saya menaruh sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menjadi lebih baik selepas beraksi dalam beberapa perlawanan lagi," katanya.

Durakovic gembira dengan persembahan anak buahnya walaupun menerima tentangan sengit daripada PKNP FC.

Perak menang 3-1 untuk merakam kejayaan ketiga musim ini, sekali gus melonjak ke kedudukan kelima daripada tangga kelapan.

Namun, Perak bakal berhadapan ujian getir apabila akan bertandang ke kubu pasukan di tempat kedua, Pahang, di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Sabtu ini.