Kapten PKNP FC, Hafiz Ramdan, tidak mahu pasukannya dibayangi kemanisan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) yang baru sahaja menjulang trofi Liga Super, sebaliknya baki tiga perlawanan perlu disudahkan dengan kutipan mata penuh bagi memperbaiki kedudukan liga.

Kedengaran ia agak mustahil buat PKNP untuk mengekang JDT malam ini memandangkan lawan masih lagi segar dengan kejayaan meraih kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut.

Namun, beraksi di laman sendiri mungkin mampu memberi kekuatan berbeza buat PKNP untuk merealisasikan harapan mengatasi JDT ketika mereka berada di tahap terbaik.

"Kami tahu JDT baru menjulang piala tetapi kami harus mengelak kekalahan. Pemain-pemain perlu bersedia," katanya.

Hakikatnya, PKNP sudah pun terselamat daripada zon penyingkiran di kedudukan kelapan liga ketika ini dan kesempatan beraksi di laman sendiri pastinya akan digunakan sebaik-baiknya oleh anak-anak buah Abu Bakar Fadzim itu.

"Kami memang memerlukan kemenangan. Mata perlu diraih bagi menyekat kemaraan pasukan di bawah kedudukan kami untuk memintas."