Mohd Hafiz Kamal mengakui tahap kecergasan permainannya belum mencapai tahap bagi diturunkan dalam kesebelasan permulaan PKNP FC ketika bertemu Petaling Jaya City (PJC) FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.

Setakat ini pemain kelahiran Pantai Remis itu hanya diturunkan sebagai pemain simpanan dalam dua perlawanan ketika bertemu Kedah dan Felda United.

Begitupun, Hafiz sedikitpun tidak terkilan dengan tindakan jurulatih, Abu Bakar Fadzim, berbuat demikian.

Selepas berehat lebih setahun gara-gara menjalani pembedahan lutut, Hafiz kini sedang berusaha mengembalikan kecergasan.

"Saya faham tindakan jurulatih yang menyedari saya tidak cukup bersedia ketika ini," katanya.

Justeru, pemain itu menggunakan peluang beraksi selama setengah jam lebih itu mengasah dan mempertingkatkan kemampuan dan sentuhannya.

"Masalah saya ialah kecergasan permainan saya belum cukup tinggi.

"Lain-lain tidak ada masalah sangat," kata Hafiz yang menyertai PKNP FC selepas kontraknya tidak diperbaharui Perak musim ini.

Pemain itu selesa bersama pasukan barunya itu walaupun PKNP FC pasukan yang dibarisi ramai pemain muda.

"Pemain pasukan ini ramai yang muda dan saya terpaksa bersaing dengan mereka untuk mendapat tempat tetapi itu bukan masalah utama saya," katanya.

Mengenai perlawanan dengan PJC FC yang dulu dikenali sebagai MISC-MIFA, Hafiz berharap rakan sepasukan akan mengusahakan kemenangan malam ini.