PKNS FC tidak menolak kemungkinan untuk kembali membariskan pemain tengah menyerang dari Argentina, Gabriel Guerra, dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang sedang dibuka sehingga 3 Jun ini.

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, mengesahkan kelab itu telah menghubungi pemain terbabit yang kini bersama kelab asalnya, Boca Juniors di Argentina.

Jika Guerra sah kembali ke PKNS, kelab itu perlu menggugurkan salah seorang awang import yang dimilikinya.

Pengambilan Guerra tampak satu pendekatan berisiko memandangkan setiap pemain sudah menyesuaikan diri, namun Mahfizul berasakan ia tindakan yang perlu diambil dalam usaha memantapkan pasukan pada pertengahan musim.

"Untuk jendela perpindahan kedua ini, kami melihat beberapa pilihan untuk memantapkan pasukan dan salah satunya adalah memperkuatkan pasukan dengan melihat kepada pemain yang mampu memberi kesan kepada PKNS.

"Salah satunya adalah Guerra," kata Mahfizul.

Guerra cemerlang bersama PKNS pada musim 2016 dengan membantu kelab itu muncul naib juara Liga Perdana dan Piala FA sebelum bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) musim lalu.

Antara sebab utama yang membuatkan PKNS sanggup melakukan perjudian mengambil khidmatnya adalah kerana Guerra sudah biasa dengan kancah bola sepak Malaysia.

"Pilihan yang ada sekarang adalah disebabkan Guerra sudah memahami budaya bola sepak di Malaysia, membuatkan kemungkinan berisiko itu agak kecil," tambahnya.