Selepas Kelantan dan Negeri Sembilan, ketua jurulatih Selangor, P. Maniam, menjadi jurulatih terbaru direhatkan musim ini ekoran kemerosotan prestasi pasukan yang tewas tiga kali berturut-turut dengan angka jaringan yang besar.

Naib Presiden Persatuan Bola Selangor (FAS) merangkap pengurus pasukan, Datuk Abdul Rauf Ahmad, menjelaskan keputusan itu diambil selepas perbincangan bersama pihak pengurusan.

Kekalahan terbaru 0-3 di tangan Perak nyata sukar diterima oleh peminat Selangor yang menyaksikan gawang mereka bocor sebanyak 10 kali dalam tiga perlawanan.

Tugas Maniam akan dipangku sementara oleh Muhammad Nazliazmi Mohd Nasir ketika pihak FAS belum ada kepastian mengenai ketua jurulatih baru pasukan.

"Kami melihat banyak dalam soal aspek kejurulatihan, taktikal dan pemain. Kami enggan mengulas lanjut tetap kami telah membuat kata putus untuk merehatkan Maniam dan tugas itu akan diserahkan kepada penolong jurulatih sementara.

"Apapun, sebarang perkembangan terperinci mengenai kejurulatihan akan diketahui dalam tempoh dua minggu ini," katanya.

Sementara itu, penganalisis bola sepak tempatan dan bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri, bersetuju dengan keputusan yang diambil oleh FAS itu.

Faktor kecelaruan taktikal yang menjejaskan persefahaman pemain dilihat menjadi punca mengapa Maniam gagal menjulang Selangor di awal musim ini.

"Ketua pasukan, Razman Roslan, mengakui pemain-pemain mengikuti segala perancangan Maniam. Namun, keputusan perlawanan tidak memihak kepada pasukan dan Maniam sendiri.

"Apabila tewas, sudah tentu ia isyarat bahawa pasukan yang dibentuk Maniam itu tidak menjadi," kata Asmawi yang juga bekas tonggak Gergasi Merah.