Pemain import baru, Mohammed Ghaddar, tidak memerlukan masa lama untuk memberikan impak kepada pasukan barunya, Johor Darul Ta'zim (JDT), apabila membantu skuad Harimau Selatan menewaskan PKNS FC 1-0 dalam aksi di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Pertemuan Liga Super melibatkan JDT dan PKNS itu sememangnya dinantikan semua peminat bola sepak tanah air yang ingin menyaksikan aksi pertama Ghaddar setelah berpindah dari Kelantan.

Asakan bertali arus skuad bimbingan Benjamin Mora jelas membuahkan hasil pada minit ke-78 selepas Amirulhadi Zainal mudah menolak masuk hantaran Ghaddar dari sebelah kanan gawang PKNS.

Bagi pengendali skuad Semut Merah, E. Elavarasan, faktor nasib menjadi pemisah di antara dua pasukan dalam perlawanan ini.

"Secara keseluruhan, taktikal dan pemain-pemain kami berjalan lancar, cuma kami kurang bernasib baik," katanya.

Sementara itu, penjaring gol tunggal perlawanan, Amirulhadi, memberi penghargaan kepada penjaga gol JDT, Farizal Marlias, yang tangkas mengawal gawang daripada dibolosi.

"Syukur dapat pulang dengan tiga mata dan pujian juga perlu diberikan kepada Farizal Marlias yang menyelamatkan banyak percubaan pihak lawan," ujar Amirulhadi.

Kemenangan kesembilan ini mengekalkan skuad JDT di tangga teratas Liga Super dengan 30 mata, enam mata mengatasi Pahang dan Kedah di tangga kedua dan ketiga.