Pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, menagih sentuhan magis Mohammed Ghaddar untuk misi mengutip kemenangan sulung musim ini tatkala pengendali Perak, Mehmet Durakovic, mahu anak buahnya kembali bangkit meraih keputusan positif dalam pertemuan Liga Super di Kota Bharu, esok.

Tumpuan utama dalam pasukan Kelantan ketika ini terarah kepada dua individu, iaitu Yusri yang memangku tugas jurulatih susulan pemecatan Sathit Bensoh dan kehadiran Ghaddar yang membuat kemunculan buat kali keempat untuk skuad itu.

"Ghaddar telah mendapat pengesahan daripada FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) mengenai perpindahannya untuk bersama Kelantan.

"Saya akan menggunakan Ghaddar selama mungkin di padang selain mengharapkan pemain lain untuk membantunya dalam menghadiahkan kemenangan pertama buat Kelantan," kata Yusri.

Sementara itu, Perak tiba di Kota Bharu hari ini dengan membawa misi untuk melakukan kebangkitan selepas mengalami kekalahan 2-0 kepada PKNS FC dalam aksi terakhir.

Durakovic berkata Perak berwaspada dengan kehadiran Ghaddar walaupun mengakui pasukannya berkeyakinan tinggi dalam perlawanan keempat itu.

"Semua orang tahu dengan pemain baru (lawan)," katanya. "Kami datang ke sini dengan penuh keyakinan tetapi ia bukan mudah. Kami akan memberikan 100 peratus komitmen," katanya lagi.

Kelantan kini berada di tangga tercorot selepas hanya mengumpul satu mata dalam tiga perlawanan terakhir sementara Perak memperoleh satu kemenangan, satu seri dan satu kalah.