Gergasi Merah tiada kompromi soal semangat kesukanan 

Oleh Staff Writer 21 Mei 2019 5787
Gergasi Merah tiada kompromi soal semangat kesukanan 
"Tiada kompromi."

Itu jawapan jurulatih Selangor, B. Sathianathan, yang memandang serius kelakuan buruk penjaga golnya, Farizal Harun, apabila mengesahkan pihaknya akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pemain itu.

Farizal mencetuskan kontroversi apabila dilihat sengaja menumbuk pemain lawan, Mohamad Al-Fateh Mohd Afendi, dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Insiden itu berlaku pada minit ke-53 ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Mengundang rasa tidak puas hati semua pihak, terutama kem PKNP FC dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sedia mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya akan berbincang dengan pengurus dan pembantu pengurus pasukan, Datuk Rauf Ahmad dan Nazzab Hidzan, untuk membuat keputusan yang sewajarnya ke atas Farizal. 

"Ia satu tindakan yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemain profesional. 

"Saya dah berjumpa dengannya dan dia mengaku bertanggungjawab tetapi tindakannya pada masa itu tidak  mencerminkan semangat kesukanan," kata Sathianathan.

Ini kali kedua bekas penjaga gol Felda United itu melanggar etika profesional sebagai pemain bersama The Red Giants tahun ini.

April lalu, Farizal didapati bergaduh dengan penyokong sendiri yang kurang senang dengan aksinya di atas padang.

"Saya kecewa dengan tindakannya itu tetapi bukan aksinya di atas padang.

"Sebagai jurulatih, kami kurang senang dengan perbuatannya itu, termasuk terhadap penyokong sebelum ini, dan sebagai pemain, dia tidak patut berkelakukan seperti itu," kata Sathianathan lagi. 


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen