Gergasi Merah enggan beralasan kecederaan 

Oleh Staff Writer 24 Jun 2019 1038
Gergasi Merah enggan beralasan kecederaan 
B. Sathianathan menganggap aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Shah Alam malam esok sebagai misi wajib menang untuk meletakkan pasukannya di kedudukan keempat terbaik Liga Super.

Pengendali Selangor itu menganggap baki lima perlawanan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk mereka cuba mengutip mata maksimum memandangkan saingan dalam kalangan lapan pasukan amat rapat.

Skuad Gergasi Merah, yang menghuni tangga kelima, hanya dibezakan satu mata dengan Kedah dan Melaka United yang di kedudukan ketiga dan keempat liga.

Bagaimanapun, bekas pengendali kebangsaan itu tidak menafikan kekuatan skuad Tok Gajah, namun mahu menggunakan kelebihan di tempat sendiri untuk memastikan kemenangan.

"Berdepan Pahang ibarat perlawanan akhir buat kami. 

"Kami tidak mahu terus keciciran mata untuk melaksanakan misi sekurang-kurangnya meraih kelompok empat terbaik.

"Walaupun kalah kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Rabu lalu, saya nampak semangat dan corak permainan anak buah bertambah baik," katanya.

Dalam pada itu, bekas jurulatih kebangsaan itu berharap pemain yang menggantikan posisi Taylor Regan, K. Sarkunan, Abdul Halim Saari dan Syazwan Zainon mampu memberi cabaran sengit kepada pihak lawan.

"Halim dan Syazwan masih dibelenggu kecederaan manakala Regan dan Sarkunan pula akan menjalani penggantungan. 

"Sebagai sebuah pasukan, mana-mana pemain yang diberi peluang perlu beraksi dengan baik dan saya mempunyai keyakinan untuk itu. 

"Mungkin kehilangan Taylor merupakan satu tamparan hebat tetapi kami perlu mengatasi masalah tersebut dengan menaruh keyakinan kepada pemain yang akan menggantikan tempatnya," katanya. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen