Pengendali Selangor, B. Sathianathan, menangguhkan hasrat untuk menandatangani pertahanan dari Korea Selatan, Kim Seong-sik, sebagai pemain import kelima Gergasi Merah selepas beliau tampak belum berpuas hati dengan prestasi pemain itu.

Selangor dalam pemburuan pemain import terakhir selepas mereka mendapatkan tiga pemain import baru selain mengekalkan khidmat Rufino Segovia.

Membabitkan kuota import Asia, Seong-sik berada dalam penilaian Sathianathan menerusi beberapa sesi latihan dan aksi persahabatan.

Terbaru, pertahanan tinggi lampai itu diuji dalam aksi pemanas badan menentang Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras, malam tadi.

"Saya kurang berpuas hati daripada segi kepantasan Seong-sik, mungkin dia mengalami kecederaan.

"Namun, dalam situasi berdepan satu lawan satu, sukar untuk mengatasinya tetapi kami perlu berhati-hati dalam hantaran jauh.

"Kami akan mempertimbangkan keputusan untuk mengikatnya sebaik mengkaji rakaman permainannya kerana ia akan memberikan perspektif berbeza," kata jurulatih itu.

Dalam perlawanan itu, Selangor menundukkan Kuala Lumpur 3-2 dibantu jaringan Sean Eugene Selvaraj, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Amri Yahyah.

Sathianathan turut menguji beberapa muka baru buat kali pertama, antaranya Syazwan Zainon, Endrick Dos Santos dan Antonio German.

"Saya tidak boleh mengharapkan sesuatu yang lebih lagi daripadanya (German) tetapi dia memang laju dan cekap menggelecek.

"Dia memerlukan sedikit masa. Dia mencipta satu peluang dan juga terlepas satu peluang. Mungkin situasi itu menjejaskan moralnya dalam permainan ini kerana semua pemain mahu menyumbat gol dalam penampilan sulung.

"Jadi, saya tidak risau, German memerlukan masa," tambahnya.