Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor, belum memutuskan pengambilan pemain import baru apabila pengendalinya, Nazliazmi Nasir, mengesahkan pasukannya masih menagih khidmat pemain import sedia ada menjelang lima perlawanan pada Ramadan ini.

Ketika ini, kuota import Gergasi Merah diisi oleh Alfonso de la Cruz, Willian Pacheco, Rufino Segovia dan duo Indonesia, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armaiyn.

Begitupun, Nazliazmi enggan terburu-buru merombak pasukannya biarpun berdepan prestasi tidak menentu.

Apa yang lebih mustahak, Selangor perlu memberi fokus untuk menghadapi lima perlawanan sepanjang bulan puasa ini.

"Kami akan mengharungi lima perlawanan pada Ramadan ini. Kami perlu berdepan dengan PKNP FC, Kelantan, Kedah dan PKNS FC pula dua kali.

"Ini bukan perlawanan yang mudah kerana ia menuntut saya serta barisan kejurulatihan supaya fokus memperbaiki kesilapan supaya kami dapat membentuk semula kombinasi pemain," katanya.

Sehubungan itu, Nazliazmi berharap aksi lebih kemas daripada anak buahnya untuk bangkit dalam pusingan kedua dalam usaha menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan terbaik.