Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalinggam, memberi jaminan geran tahunan akan mula dibayar kepada pasukan Liga Super dan Perdana bermula Isnin ini.

Melebihi pertengahan musim, MFL akhirnya tampil memberi jaminan pembayaran geran buat pasukan yang bertanding dalam saingan liga musim ini.

Tegasnya, ia merupakan pembayaran sebanyak dua kali dengan tiada perubahan daripada segi jumlah yang telah dijanjikan seperti di awal musim.

Itu bermaksud setiap pasukan Liga Super akan mendapat pembahagian sebanyak RM3 juta manakala pasukan Liga Perdana sebanyak RM1.5 juta.

"Proses dokumentasi serta perbincangan dengan pihak penaja telah menelan masa dan kami telah berusaha dengan sebaik mungkin memastikan segalanya berjalan lancar," kata Kevin.

Sudah pasti ia berita gembira buat pasukan yang menganggap pembahagian itu umpama sumber bantuan kewangan untuk mereka meneruskan aksi dalam saingan liga musim ini.

"Setelah menyelesaikan isu penajaan sebelum ini, saya berasakan MFL di landasan dan mampu meneruskan perancangan kami selepas ini," tambahnya.