Selepas mencetak tiga gol dalam dua aksi Liga Super, Francis Forkey Doe, menyasarkan status penjaring terbanyak musim ini, sekali gus mengulangi pencapaiannya ketika bersama Felda United pada 2016.

Menyumbangkan dua jaringan buat Pahang ketika menewaskan Selangor 3-1 di Stadium Cheras malam tadi, persembahan yang ditampilkan Forkey Doe membuktikan kehadirannya melonjakkan mutu jentera serangan Pahang musim ini.

Walaupun bekas penyerang The Red Giants ini antara penyumbang jaringan ketika Pahang menewaskan Kelantan 3-0 dalam aksi terdahulu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh, masih sangsi dengan kecergasannya ketika itu.

Namun, kesangsian Dollah dibalas dengan dua jaringan Forkey Doe yang turut membawa kemenangan 3-1 ke atas Selangor.

"Forkey Doe masih lagi belum berada dalam kecergasan terbaik tetapi dia telah membuktikan pengalamannya beraksi dalam saingan Liga Malaysia berjaya memberikan kemenangan buat Pahang," kata Dollah.

Penghijrahan Forkey Doe yang membabitkan tujuh pasukan Liga Super adalah antara penyebab pemain ini tampak serasi beraksi di atas permukaan padang dalam saingan Liga Malaysia, sekali gus sudah dapat menangkap corak permainan liga di sini.

Satu pujian buat Forkey Doe kerana walaupun meraih dua jaringan, pemain kelahiran Liberia ini tidak meraikannya sebagai tanda menghormati bekas majikannya, Selangor.

"Saya meletakkan sasaran untuk memenangi satu gelaran musim ini dan muncul penjaring terbanyak. Saya akan berusaha untuk membantu pasukan mencapai sasaran ini," katanya.