Pahang menerima tamparan hebat menjelang aksi getir berdepan bekas juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam suku akhir pertama Piala FA, 6 April ini apabila penyerang utama, Francis Forkey Doe, terpaksa berehat sehingga penghujung musim ini ekoran kecederaan lutut serius.

Forkey Doe ditimpa kecederaan itu seawal minit kelapan ketika menentang Kedah dalam pusingan ketiga Piala FA di Stadium Darulmakmur, 14 Mac lalu.

Jurulatih, Dollah Salleh, mungkin individu paling terasa selepas pemeriksaan doktor mendapati lutut Forkey Doe terdapat keretakan tulang dan kecederaan meniskus.

Perlu berehat hampir setahun, Dollah pening memikirkan kepincangan di bahagian serangan tanpa Forkey Doe yang sudah meledak lima gol setakat ini.

"Saya berasakan untuk tahun ini, Forkey Doe terpaksa direhatkan hingga penghujung musim," kata Dollah.

"Dia berkemungkinan mengambil masa hampir setahun untuk pulih sepenuhnya."

Berdepan JDT, bukan ketiadaan Forkey Doe sahaja menjadi kebimbangan Dollah kerana pemain utama yang lain seperti Patrick Cruz dan Safuwan Baharudin turut dihimpit kecederaan.

Kini beliau berharap beberapa pemain yang sedang bersama skuad kebangsaan dan skuad B-21 tahun, tidak ditimpa kecederaan apabila kembali ke Pahang.

"Kami hanya berlatih dengan 13 atau 14 pemain. Kecederaan terus menghimpit pasukan menjelang aksi penting selepas ini," katanya lagi.