Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa, percaya pasukannya akan tampil lebih baik ketika menentang Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Berdasarkan persembahan semasa, kelebihan memihak JDT dengan dua kemenangan berturut-turut ke atas Perak dan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Figueroa mengakui masih terdapat beberapa ruang untuk diperbaiki bagi membawa pulang tiga mata.

Sandaran utama diletakkan kepada Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo yang baru pulih daripada kecederaan.

"Mereka memiliki pemain yang bagus dan memiliki pemain bintang yang digeruni.

"Mereka pernah berada di tahap tertinggi sebelum ini.

"Kami berharap mereka akan tampil memberikan saingan dengan aksi yang berkualiti," katanya.

Sementara itu, jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim, turut berkeyakinan untuk menyekat JDT.

Walaupun rekod pertemuan saingan liga musim lalu memihak kepada pasukan dari selatan itu, Irfan Bakti menyandarkan kepada kelebihan selaku tuan rumah selain motivasi untuk bangkit daripada dua aksi yang kurang meyakinkan sebelum ini.

Tidak banyak perubahan akan dilakukan TFC kecuali di posisi penjaga gol dengan Suffian Rahman bakal menggantikan Wan Azraie Wan Teh.

"Kami pernah menewaskan JDT dan mengenali setiap pemain mereka.

"Kami akan mengawasi setiap bahagian dan memastikan pemain-pemain kami tidak memberikan sebarang ruang buat mereka," katanya.