Pengurus pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa, mengakui juara bertahan Liga Super itu beraksi di bawah tahap sebenar dalam aksi berdepan Terengganu FC (TFC).

Berang dengan persembahan JDT, Figueroa berkata mereka terpaksa berpuas hati dengan satu mata walaupun kemenangan sudah berada dalam genggaman.

Kesilapan itu, menurutnya, tidak sepatutnya berlaku, namun Figueroa yakin skuad bimbingannya berupaya tampil lebih garang dalam perlawanan selepas ini.

"Saya tidak gembira dengan cara permainan ini dan kami perlu berubah kerana gagal beraksi dengan baik.

"Kami menjaringkan gol, kami mendahului, namun leka di penghujung permainan," katanya.

Sementara itu, Figueroa menjelaskan tiada apa yang perlu dibincangkan berkenaan beberapa keputusan pengadil yang berpihak kepada JDT di Kuala Terengganu malam tadi.

Keputusan pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin, menjadi perhatian selepas memberikan sepakan penalti kepada JDT di setiap babak permainan.

Nazmi, bagaimanapun, gagal mengesan kekasaran Syamer Kutty Abba dan Aidil Zafuan Abdul Razak ke atas Kipre Tchetche di dalam kotak penalti, sekali gus mengundang komen Figueroa.

"Semua orang akan bercakap tentang penalti yang diberikan kepada JDT tetapi apabila keputusan pengadil tidak berpihak kepada kami, tiada siapa memperkatakannya," tambah Figueroa.

"Ia sentiasa begitu sejak saya datang ke negara ini."