Pengurus Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa, mengakui kepenatan pemain mengganggu keberkesanan mereka dalam 90 minit aksi berdepan Petaling Jaya City FC di Stadium MBPJ, semalam.

JDT terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang ketat dalam aksi liga dan di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) hingga membuatkan pasukan itu tidak memiliki masa rehat yang banyak seperti pasukan lain.

Kepenatan amat ketara dapat dilihat dalam aksi dengan PJ City itu walaupun hakikatnya skuad teratas Liga Super itu kemas mendominasi permainan sepanjang 90 minit.

"Dalam separuh masa kedua, keamatan permainan JDT berkurangan kerana kepenatan menghadapi jadual padat. Tetapi kami berpuas hati kerana meraih tiga mata," kata Figueroa.

Sementara itu, jurulatih PJ City FC, K. Devan, terpaksa akur dengan kekuatan JDT, namun berasa lega apabila barisan pertahanannya kental dalam mengekang asakan JDT daripada terus dibolosi.

Kehampaan Devan lebih terarah kepada jentera serangannya yang tumpul.

"Kami perlu mempertingkatkan jentera serangan. Selepas beberapa pemain menyertai perlawanan dalam separuh masa kedua, kami mempamerkan corak permainan yang lebih baik," kata Devan.