Selepas melalui musim yang hebat bersama Kedah, penyerang dari Sepanyol, Fernando Rodriguez Ortega, mengambil keputusan mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Lang Merah itu.

Pemain berusia 32 tahun itu -- yang panggilan mesranya “Nando” dalam kalangan rakan sepasukan -- berkata dia gembira bermain untuk Kedah dan menyumbangkan 21 gol dalam semua pertandingan, menjuarai Piala FA, selain membantu skuad Lang Merah itu menamatkan kedudukan di tempat keempat dalam Liga Super musim ini.

“Tiba masa mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga hebat ini, satu tahun yang menarik dan tidak dapat dilupakan bersama kamu semua!! Terima kasih rakan sepasukan, peminat, badan perubatan, pengurus-pengurus.

"Terima kasih daripada lubuk hati saya, diharap anda boleh mengatasi atau menyamai pencapaian musim hebat ini,” katanya seperti yang dipetik daripada laman Instagramnya, rodriguez9pro, hari ini.

Dia tidak bermain dalam final Piala Malaysia semasa Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bukit Jalil kelmarin selepas mengalami kecederaan pada saat-saat akhir sebelum perlawanan. Kedah tewas 0-3 dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun, Fernando yang menyertai Kedah daripada kelab Indonesia, Mitra Kukar FC, musim ini tidak menyatakan sebab mengambil keputusan meninggalkan Lang Merah tetapi dipercayai dia menerima tawaran lebih baik dari negara asalnya.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dilaporkan berjaya mendapatkan pengganti untuk pemain Sepanyol itu daripada kalangan pemain Liga Malaysia tetapi belum mendedahkan nama pemain itu.

-- BERNAMA