Felda United bebas hutang, kata setiausaha agung pasukan itu, Afizal Abu Othman, apabila tunggakan gaji membabitkan tujuh pemain dan bekas ketua jurulatih, B. Sathianathan, sudah mula diselesaikan menjelang permulaan Liga Malaysia 2020.

Semalam, Nadi Arena melaporkan terdapat enam pasukan yang dikatakan gagal melunaskan tunggakan gaji walaupun musim baru akan bermula tidak lama lagi.

Ia membabitkan PDRM, Melaka, Terengganu FC, Kelantan, Pulau Pinang dan tidak terkecuali, Felda United.

Isu itu turut mendapat perhatian Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Bagaimanapun, Afizal tampil untuk memberikan penjelasan bahawa kesemua tunggakan gaji itu sudah mula diselesaikan dengan dana sendiri skuad The Fighters itu.

"Alhamdulillah, bajet untuk menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji diluluskan.

"Dalam tiga minggu ini, pihak pengurusan Felda United telah menyelesaikan sebahagian daripadanya.

"Insya-Allah, dalam Januari nanti, kami akan menyelesaikan keseluruhan daripada baki-baki (pembayaran) yang tertunggak," katanya.

Tindakan proaktif pihak pengurusan tertinggi Felda United itu wajar diberikan pujian kerana tidak bergantung kepada pembayaran geran yang masih belum dilangsaikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Tahun depan, kami akan bermula daripada kosong semula.

"Dan kami juga sedang mengikuti program ECP (program kawalan ekonomi) MFL.

"Insya-Allah, kami akan berbelanja dengan lebih berhemah dan mengikut format ECP," tambahnya.


Editor: Muzaffar Musa