Hasrat pasukan tercorot Liga Super, Felda United, mencetak kejutan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, tidak kesampaian apabila kemenangan memihak PJ City FC 1-0.

Felda terus terhenyak di kedudukan terbawah liga apabila gagal meraih sebarang mata semalam.

Penguasaan permainan yang ditampilkan skuad bimbingan K. Devan itu jelas menyukarkan The Fighters mencari peluang.

Bagaimanapun, usaha PJ City hanya menemui hasil pada minit ke-44 menerusi jaringan Safee Sali.

Memasuki babak kedua, pertahanan berpengalaman, Nasriq Baharom, yang dilayangkan kad merah menyaksikan PJ City beraksi dengan 10 pemain.

Kesempatan itu cuba digunakan anak buah Nidzam Jamil itu, namun malang menimpa mereka apabila penyerang import kelahiran Singapura, Khairul Amri Kamal, terpaksa meninggalkan padang ekoran kecederaan.

Felda terus buntu sehingga tamat permainan, sekali gus menyaksikan mereka sekadar mengutip 12 mata selepas 16 perlawanan.

"Kami berjaya mengutip tiga mata yang penting untuk melonjakkan tahap keyakinan PJ City, sekali gus membantu kami bermain dengan lebih yakin dalam perlawanan berikutnya," kata Devan.

"Sukar untuk kami bermain dengan baik dalam perlawanan berturut-turut. Persembahan kami tidak berada di tahap terbaik dan gagal menghasilkan peluang menjaringkan gol," kata Nidzam.