Pengendali Felda United, B. Sathianathan, menyasarkan kelompok empat teratas Liga Super selepas pasukan itu menjalani rombakan besar-besaran pertengahan musim ini.

Felda memanfaatkan sepenuhnya jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia dengan merekrut beberapa ramai muka baru.

Ia membabitkan tiga pemain import, iaitu Thiago Augusto Fernandes, Dino Djulbic dan Ifedayo Omosuyi, serta beberapa pemain tempatan, antaranya Curran Singh Ferns, K. Prabakaran dan Safwan Hashim.

Sathianathan optimis kehadiran pemain terbabit akan menyuntik nafas baru kepada pasukannya untuk menghadirkan tentangan hebat dalam baki saingan Liga Super musim ini.

"Saya harap separuh kedua liga tidak akan berlaku seperti separuh pertama musim ini di mana kami bolos dengan banyak.

"Dengan adanya Thiago, saya yakin masalah jentera serangan yang tumpul mampu diatasi," jelasnya.

Untuk rekod, sejak The Fighters diambil alih Satia, Februari lalu, kelab itu telah melakar tiga kemenangan, empat seri dan satu kekalahan.

Sathianathan kini juga menuntut anak buahnya menyerlahkan kesungguhan untuk merebut kejuaraan Piala Malaysia setelah gagal dalam misi merangkul Piala FA.

"Sudah tentu saya mahu ke final Piala Malaysia. Sejak lima tahun mengendalikan pasukan dalam saingan Liga Malaysia, empat kali saya berjaya membawa pasukan ke final. Jadi, sudah tentu saya mahu perkara itu berulang," tambahnya.