"Felcra FC tidak tarik diri." Itu kenyataan tepat untuk menggambarkan situasi terkini naib juara Liga Perdana 2018, Felcra FC, sungguhpun khabar angin bertiup kencang melibatkan penyertaan mereka dalam Liga Super musim depan tidak akan berlaku.

Benar, pasukan ini berhadapan isu dana untuk membentuk sebuah pasukan berstatus Liga Super sejak tiga bulan lalu.

Namun, hal itu semakin menemui penyelesaian dengan Felcra FC tidak lagi bergantung kepada dana Felcra Berhad selepas mendapat majoriti dana luar dengan jumlah melebihi RM10 juta setakat ini.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Felcra, Datuk Hazian Murad, perkembangan positif itu sudah cukup untuk membawa khabar gembira mengenai status Felcra FC pada musim depan dan akan membuat pengesahan dengan penganjur Liga Bolasepak Malaysia (MFL), 1 November depan.

"Jumlah dana sebanyak RM10j adalah angka yang selamat.

"Tetapi, kalau dengan jumlah itu sahaja, ia kurang efisien untuk sesebuah pasukan bola.

"Kami bukan sahaja perlu membayar gaji pemain dan pegawai, ia melibatkan kos stadium, pengadil dan anggota keselamatan dalam setiap pasukan," katanya.

Tegas Hazian, Felcra tidak akan melewati rombakan besar-besaran untuk saingan musim depan dan hanya beberapa perubahan kecil akan dilakukan mengikut keperluan.

"Saya tidak rasa kami akan membuat rombakan besar-besaran.

"Itu semua bergantung kepada barisan kejurulatihan.

"Kalau kami sah beraksi dalam Liga Super, perubahan mesti dilakukan dalam usaha penambahbaikan pasukan," katanya.