"Jangan bandingkan saya dengan Akhyar Rashid."

Itu pandangan pemain tengah Kedah, Fayadh Zulkifli Amin, yang tidak mahu dibayangi kehebatan bekas bintang muda sensasi skuad Lang Merah itu selepas membuka akaun jaringan bersama pasukan itu semalam.

Kelibat Fayadh mencuri tumpuan selepas dia dimasukkan dalam babak kedua ketika pertemuan Liga Super menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Ia dihasilkan menerusi kelicikannya memperdayakan pemain lawan dalam beberapa situasi sukar walaupun bertubuh kecil.

Corak permainan anak jati Kedah itu tampak mempunyai persamaan dengan Akhyar yang turut memiliki kelebihan menerusi kemahiran individu.

"Kalau orang membandingkan saya dengan Akhyar, saya tidak begitu suka kerana dia dan saya berbeza. Saya tidak suka. Insya-Allah saya akan ikuti perjalanan dia tetapi masing-masing memiliki cara sendiri," katanya.

Kemasukan Fayadh memberi impak besar kepada Kedah apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan PKNS 3-2.

Malah, bekas pemain skuad Piala Presiden Kedah itu turut meledak jaringan sulungnya bersama skuad senior Lang Merah musim ini.

"Saya sangat gembira kerana jarang beraksi. Apabila turun bermain, saya dapat menjaringkan gol. Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada jurulatih kerana mempercayai saya. Begitu juga dengan rakan sepasukan dan penyokong Kedah."