"Ada perbincangan, belum ada surat amaran."

Itu penjelasan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon, mengenai isu membabitkan ketua jurulatih, B. Sathianathan, berikutan tewas 0-4 kepada PKNS FC dalam aksi Liga Super di Shah Alam kelmarin.


Johan mendedahkan pertemuan di antara Sathianathan dan Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, adalah untuk memperhalusi isu prestasi merudum Gergasi Merah, bukannya mengenai surat amaran kepada jurulatih itu.

Selepas tiga perlawanan, Selangor masih gagal merakamkan kemenangan apabila hanya mampu seri dua kali dan terbaru, dibelasah PKNS di laman sendiri.

Dr. Johan tidak menafikan kedudukan bekas pengendali kebangsaan tersebut dalam bahaya, namun persatuan itu masih memberi peluang kepadanya untuk memperbaiki keadaan.

"Biarpun tidak memberikan surat amaran sekalipun, kita tahu Sathianathan dan skuad bimbingannya berdepan tekanan yang berat, malah dia tidak perlu diberi peringatan pun.

"Dia sedar apakah kesannya sekiranya dia tidak membuat perubahan daripada segi prestasi.

"Namun, kami sentiasa memberi sokongan penuh kepadanya dan sebab itulah dia terus diberi peluang," katanya.

Dalam masa sama, FAS enggan bersikap tangkap muat untuk mencari pemain import dalam tempoh 48 jam bagi menggantikan penyerang, Antonio German, sebelum jendela perpindahan liga ditutup esok.

German dikritik ekoran aksi longlainya dan sekadar menjaringkan satu gol selepas tiga perlawanan.

"Kami masih meneliti situasi Antonio German.

"Kalau kami tidak menjumpai pengganti yang lebih baik dan lebih sesuai, mungkin tidak berbaloi untuk menukar pemain import," tambahnya.