Jika permohonan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) diluluskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor dijangka kembali beraksi di Stadium Shah Alam, Julai ini.

Perkara itu didedahkan Naib Presiden FAS merangkap pengurus pasukan, Abdul Rauf Ahmad, yang berkata mereka kini hanya menunggu kata putus MBSA.

Selain faktor sentimen pasukan, keputusan untuk beraksi di Shah Alam diambil demi keselesaan penyokong berbanding di Stadium Selayang.

Rauf menjangkakan keputusan MBSA bakal diketahui dalam seminggu dua lagi.

"Kami telah berunding dan mengemukakan tawaran kepada pihak stadium dan berharap Selangor akan kembali beraksi di Shah Alam selepas Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Rauf berkata keputusan FAS untuk beraksi di Shah Alam diambil sedikit lewat kerana sebelum ini stadium terbabit berdepan masalah lampu limpah.

Selepas melihat segala-galanya berjalan lancar, termasuk aksi perlawanan akhir Piala FA diadakan di situ, barulah FAS mencapai keputusan untuk membuat permohonan kepada MBSA.

"Sejak awal lagi, kami mahu beraksi di sana tetapi dengan masalah lampu limpah yang berlaku pada awal musim, maka kami mengambil keputusan untuk beraksi di Selayang."